Articles

"Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

Di alam Melayu ini terdapat dua bangsa yang besar iaitu Jawa dan Jawi. Jawi yang dimaksudkan di sini adalah Melayu. Sebab itu jika dikatakan Tulisan Jawi, ianya merujuk kepada Tulisan Melayu. Begitu juga jika disebut 'Tanah Jawi' maka ianya merujuk kepada 'Tanah Melayu'.Istilah lain seperti 'masuk jawi' atau berkhatan itu bermaksud' masuk Melayu' atau 'masuk Islam'. Jelas menunjukkan bahawa Islam dan Melayu itu tidak boleh dipisahkan.

Hari ini terutama generasi muda sangat kurang mengetahui tulisan jawi.Tulisan Jawi tidak lagi digunakan dalam tulisan harian kerana ramai sudah tidak tahu menulis Jawi hatta untuk menulis catatan peribadi atau tulisan-tulisan tidak rasmi. Orang Melayu sendiri yang meminggirkan Jawi yang sepatutnya menjadi kebanggaan dan Jati diri orang Melayu.

Buku Teks Pendidikan Islam juga telah ditukar kepada rumi. Amat malang sekali, jika matapelajaran yang menpunyai kaitan langsung dengan tulisan jawi ini sudah ditukar kepada tulisan rumi. Ini menunjukkan betapa tenatnya tulisan ini dan tidak mustahil sedikit hari lagi tulisan ini mungkin hanya akan dilihat di muzium-muzium.

Orang yang bertanggung jawab memusnahkan tulisan Jawi ini adalah Tan Sri Mohamed Khir Johari (29 Januari 1923 - 19 November 2006) merupakan pemimpin veteran UMNO yang juga anggota Kabinet pertama kerajaan pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Allahyarham menjadi Menteri Muda di Kementerian Pertanian dan Perikanan pada 1955 sebelum memegang jawatan menteri di beberapa kementerian termasuk Menteri Pelajaran (1957-1959/1965-1968).

Dalam banyak-banyak kementerian yang diterajui oleh beliau, Khir Johari terkenal dan tersohor di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau telah melakukan satu reformasi dalam pendidikan negara apabila menghapuskan tulisan jawi sebagai tulisan utama dan tulisan pengantar kepada Bahasa Melayu. Bermula dari itu, semua pelajaran yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ditukar tulisannya ke dalam tulisan rumi.

Tidak adakah rakyat dan pemimpin-pemimpin Melayu yang menentang pada masa itu? Tidak adakah pemimpin-pemimpin Melayu yang mencadangkan agar ada subjek-subjek yang patut mengekalkan tulisan Jawi supaya Jawi tidak berkubur pada masa akan datang? Kemungkinan juga pemimpin-pemimpin Melayu pada masa itu buat 'pekak badak' sahaja kerana latarbelakang pendidikan kebanyakan pemimpin-pemimpin Melayu pada masa itu adalah pendidikan Inggeris. Disebabkan itu, mereka memandang Tulisan Jawi tidak ada nilai ekonomi yang tinggi sehingga diganti semuanya dengan tulisan rumi.

Generasi yang mendapat didikan selepas beliau menjadi menteri di Kementerian Pelajaran telah menjadi generasi yang kurang mahir dalam tulisan jawi. Serentak dengan itu juga akhbar utama orang Melayu ketika itu, Utusan Melayu menjadi semakin malap dan tidak popular.

Pada tahun 2005, Utusan Melayu telah terkubur dan pihak kerajaan terpaksa menghidupkannya kembali. Hari ini Utusan Melayu hanya menjadi akhbar sisipan dalam Utusan Malaysia setiap hari Isnin.

Di Johor, jika tidak kerana adanya sekolah-sekolah agama kerajaan negeri yang menggunakan tulisan Jawi 100%, generasi mudanya mungkin juga akan menjadi buta Jawi. Masih ramai yang boleh membaca dan menulis Jawi dengan baik. Mungkin dari segi amalannya masih kurang kerana telah selesa dengan tulisan rumi.

Buta Jawi boleh mengakibatkan seseorang itu lebih mudah menjadi buta Al-Quran. Jarang ditemui orang-orang yang boleh membaca Al-Quran itu buta Jawi. Lazimnya celik Jawi akan lebih mudah belajar hal-hal agama dan lebih mudah belajar mengaji Al-Quran. Begitu juga orang yang tahu membaca Al-Quran dengan baik akan lebih mudah untuk belajar membaca rawi dalam kitab berzanji.

Apa yang boleh kita pelajari daripada nasib tulisan jawi ini ialah sama ada keputusan kita pada hari ini akan memberi natijah baik atau buruk 30 atau 40 tahun akan datang. Jikalau baik maka baiklah jadinya. Tetapi jika tersalah langkah buruk benar kesannya seperti mana Tulisan Jawi."

Amir Hamzah (2009)
Batu Pahat, Johor Darul Takzim
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com



    



"SAHABATKU YANG DIHORMATI…. Bicaraku kali ini sangat panjang. Ia satu perluahan hati yang bimbang akan kemerosotan penguasaan bacaan dan ejaan tulisan Jawi dalam kalangan kita. Jika sahabatku sudi mendengar kata hatiku melalui tulisan ini, silakan baca dengan tenang, perhatian yang khusus dan kemudian memikirkan apakah yang bakal terjadi kepada tulisan Jawi suatu ketika nanti jika kita tidak punya kepedulian terhadapnya.

Saya berpendapat memegang amanah untuk mengangkat martabat bangsa, budaya dan bahasa bukan perkara yang mudah dalam dunia mutakhir dan serba digital ini. Pola pemikiran manusia sudah banyak berubah sesuai dengan perkembangan zaman. Kepercayaan yang diberi memerlukan kita untuk lebih perihatin, punya iltizam yang tinggi dan kejituan hati yang tulus dan luhur untuk menjayakan maltamat yang sudah direncanakan.

Bagiku, tugas sebagai Munsyi Dewan, pengkhususan bidang tulisan Jawi memberi satu cabaran besar untuk mengangkat semula martabat tulisan Jawi di persada bumi Malaysia dalam menghadapi kemerosotan penggunaannya  kerana bersaing kencang dengan tulisan Rumi.

Penggunaan tulisan Jawi pernah mendominasi dunia Alam Melayu senusantara.  Menurut Amat Juhari (1996),  dalam abad ke 17 hingga abad ke 19, penggunaan tulisan Jawi cukup meluas. Bahkan tahun 1750 M merupakan kemuncak keemasan bagi kesusasteraan Melayu klasik dengan menggunakan tulisan Jawi sebagai tulisan utama.

Penggunaan tulisan Jawi tetap terus bertahan sampai selepas Perang Dunia kedua.sehinggalah abad ke 20. Ia digunakan dalam negeri-negeri Melayu terutama Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, negeri-negeri Melayu di luar Semenanjung seperti Brunei, Riau-lingga, Siak seri Inderapura, Jambi, Palembang, Deli-Serdang, Aceh, Pontianak, Sambas, Banjarmasin dan lain-lain.

Pertahanan tulisan Jawi akhirnya roboh dan terancam apabila wujudnya Akta Bahasa 1963 yang menetapkan tulisan Rumi menjadi tulisan Rasmi Bahasa Melayu. Pelbagai kekangan terus dihadapi dalam memurnikan tulisan jawi sesuai dengan peredaran semasa untuk mewujudkan satu sistem ejaan Jawi baru melalui pembakuan ejaan Jawi dan penerbitan ejaan Jawi yang baru.

Sejak itu, ke manakah arah tuju tulisan Jawi sehingga kini ? Kedudukannya semakin terancam dari hari ke hari.  Sistem ejaan dan tulisannya bagaikan kehilangan akar sejarah – hilang daya kekuatan untuk memartabatkan diri bersaing dengan tulisan Rumi yang semakin menebal pengaruhnya. Hilang daya kemampuan untuk mengangkat kebesaran ilmunya sebagai rujukan utama dalam penulisan dan pengembangan bahasa.  Tulisan Jawi juga semakin kurang berupaya mempengaruhi masyarakat Melayu untuk menguasai diri dari mempelajarinya, lemah sehingga sukar ditentukan hala tujunya.

Tulisan Jawi dewasa ini, seakan menunggu untuk berkubur bila-bila masa jika tidak ada pihak yang mengambil berat tentangnya. Sungguh menyedihkan mengingati nasib yang diterima oleh tulisan Jawi,  yang suatu ketika dahulu pernah mendominasi dunia persuratan Melayu malah sehingga ke peringkat antarabangsa.

Kemampuan masyarakat Melayu di Malaysia masa kini dalam penguasaan bacaan dan ejaan tulisan Jawi sangat menyedihkan, seolah-olah tulisan Jawi tidak mendapat tempat yang jitu di hati mereka. TIDAK PERCAYA ? Beberapa kajian ilmiah telah dibuat untuk membuktikan fenomena ini berlaku.  Hasil dari kajian-kajian tersebut menunjukkan majoriti anak-anak muda Melayu di Malaysia tidak dapat menguasai pembacaan dan penulisan Jawi. Perkara ini cukup menyedihkan, ia boleh diibaratkan “seperti kacang lupakan kulit”.

Menurut Isahak Haron et.al (2005), fenomena ini berlaku mulai tahun 1960an apabila penguasaan Jawi dalam kalangan pelajar Islam di sekolah merosot, kerana tulisan Jawi telah diganti dengan tulisan Rumi dalam penerbitan buku teks dan buku-buku rujukan Pendidikan Islam.  Kemudian,pada pertengahan 1980an atas desakan daripada masyarakat Islam umumnya, tulisan Jawi diguna semula untuk pengajaran Pendidikan Islam. Walau bagaimanapun penguasaan membaca dan menulis Jawi dalam kalangan pelajar adalah kurang memuaskan.

Perkara ini dapat dibuktikan melalui beberapa kajian yang telah dijalankan oleh para penyelidik yang berminat untuk meninggikan martabat tulisan Jawi kembali kepada zaman kegemilangannya. Antara kajian yang dijalankan tentang penguasaan tulisan Jawi ini  mendapati:

1. Berdasarkan laporan pemantauan j-QAF peringkat negeri Sarawak 2008 hasil dari pemantauan ke beberapa buah sekolah di Bahagian Sarikei dan Bahagian Sibu mendapati  masih ramai pelajar yang belum menguasai kemahiran jawi dan didapati terdapat guru j-QAF yang kurang jelas konsep Kelas Pemulihan Jawi.

2. Merujuk kepada kajian Sabariah (2008) mendapati prestasi murid dalam Model Pemulihan Jawi masih berada pada tahap sederhana (min 2.5  – 2.99).  Kajian ini melibatkan 305 guru j-QAF ambilan tahun 2005, 2006 dan 2007 di sebuah institusi perguruan di Sabah.

Berdasarkan keseluruhan min bagi perolehan data berikut didapati (i) pelajar dapat MENGENAL HURUF JAWI dengan baik (min=2.82), (ii)  pelajar dapat MEMBACA HURUF JAWI dengan baik (min=2.86) dan (iii) pelajar dapat MENULIS HURUF JAWI dengan baik (min=2.70). Min keseluruhan di atas menunjukkan tahap pencapaian pelajar adalah MASIH SEDERHANA dan belum memuaskan. Oleh itu, memerlukan penambahbaikan dan komitmen guru dari semasa ke semasa.

3. Hasil kajian dari Siti Fatimah (2007) ke atas 15 orang pelajar menjadi responden dengan menggunakan kaedah KUALITATIF sebagai dominsai kajian tersebut.  Analisis mendapati daripada 3 aspek yang dikaji iaitu (i) Ujian MENGENAL HURUF JAWI = 42% tidak kenal, 58 % kenal, (ii) Ujian MENULIS HURUF JAWI = 65.4 tidak boleh menulis, 34.6 boleh menulis dan (iii) ujian MEMBACA HURUF JAWI = 48.4 tidak boleh baca, 51.6 tidak boleh baca.

4. Hasil kajian oleh Nik Rosila (2007) terhadap 400 orang pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 4 daripada dua buah sekolah menengah di Shah Alam dan Kuala Lumpur. mendapati penguasan jawi adalah LEMAH dalam aspek berikut: Ujian penguasaan Jawi yang menguji kemahiran menulis dan mengeja Jawi, ujian menjawab soalan aneka pilihan, ujian kemahiran menulis soalan esei dan ujian menulis ayat al-Quran.

5. Berdasarkan analisis kajian oleh Siti Fatimah et. al (2007) berhubung dengan PENGUASAAN HURUF TUNGGA JAWI, yang mana 3 ujian dilakukan ke atas 17 orang pelajar  melalui  kaedah kualitatif, mendapati:

(i) MENGENAL HURUF TUNGGAL JAWI

100 % murid tidak mengenali huruf ى (ya leweh) berbanding huruf   ة (41.2 %).  Manakala 5.9 %  murid mengenali huruf ث,  17.6 %  huruf ؤ dan لا, 58.8 % huruf غ,  64.7 % huruf خ , ء dan 76.5 % murid mengenali huruf ز .  Kajian mendapati bahawa 23.5 % murid mengenali huruf  ف , manakala 47.1 huruf  غ dan  52.9 %  huruf  ض.  Hasil yang menarik sekali ialah keseluruhan murid 100 % mengenali huruf د. Hampir keseluruhan murid  70.6 % dapat mengenali huruf خ , س , ش , ص , ض , ط , ف , ق , 82.4 % huruf ظ , ع , ك , ﻫ , ي , 88.2 % huruf ث , ج , ذ , م , ن dan 94.1 % mengenali dengan mudah huruf ا , ب , ت , ح , ر , ل , و .

(ii) MEMBACA HURUF TUNGGAL JAWI

100 % murid tidak boleh membaca huruf  ى (ya leweh) berbanding huruf ة (35.9 %), Peratusan boleh baca huruf ة menurun berbanding mengenali huruf tersebut. Manakala 5.9 %  murid boleh baca huruf ث dan  11.8 %  huruf ؤ dan لا. Manakala, 23.5 % murid boleh baca huruf ف, 47.1 % huruf  غ dan  52.9 %  huruf  ض.  Huruf –huruf  ini mudah dibaca sebagaimana murid mengenali huruf tersebut. 76.5 % murid boleh membaca huruf  ز , ﻫ . Huruf  د masih menguasai 100 %  jumlah murid dalam pembacaan.

Kajian juga mendapati bahawa 58.8 % murid boleh membaca huruf خ, ط , غ ,  ق , ء, 64.7 %  huruf س , ش , ص, 70.6 % huruf خ , ض ,  ف , 82.4 % huruf ظ , ع , ك, ي , 88.2 % huruf ث , ج , ذ , م , ن dan 94.1 % boleh membaca dengan mudah huruf ا , ب , ت , ح , ر , ل , و . Hasil kajian yang diperolehi mendapati kebanyakan murid sudah boleh membaca hampir semua huruf-huruf tunggal jawi.

(iii) MENULIS HURUF TUNGGAL JAWI

100 % murid  tidak boleh menulis huruf ث berbanding huruf ا yang dapat dikuasai sepenuhnya (100 %). Dapatan juga memperolehi hanya  5.9 % murid boleh menulis huruf ق , ؤ. Manakala  29.4 % huruf لا. Kemudian 35.3 % huruf ص, ض . Manakala 47.1 % huruf خ , dan 58.8 %  huruf ز, غ, ف . Pengkaji mendapati terdapat huruf-huruf yang tiada dalam sukatan bersama dengan huruf dalam sukatan dapat dikuasai oleh segelintir murid dari sudut penulisan iaitu 17.6 % huruf ﻫ dan ى (ya leweh), 41.2 % huruf ط , ظ ,ف , 52.9 % huruf غ,ك , م , ء , ة  ,dan 64.7 % murid boleh menulis huruf ح , ذ , ر , ش , ع , ن , و .  Dapatan  ini  berbeza dengan tahap mengenal dan membaca di mana terdapat huruf yang mereka tidak boleh kenal dan baca tetapi boleh pula ditulis.

Perbezaan yang dikenalpasti daripada huruf-huruf yang terdapat dalam sukatan Pemulihan Jawi tahun Satu di mana huruf ض  hanya dapat ditulis oleh 11.8 % murid sahaja berbanding huruf ث yang memperolehi 82.4 %.  Huruf-huruf yang lain dapat ditulis dengan baik di mana dapatan memperolehi 76.5 %  huruf ج , د , س ,  ي dan 88.2 % huruf ب , ت ,  خ. Kebanyakan responden dapat menulis huruf ل (94.1 %). Keadaan ini dapat diintepretasi bahawa huruf tersebut amat sinonim dengan bentuk mata kail, kaki payung atau tongkat oleh kanak-kanak.

Secara kesimpulannya, ruang untuk menambah baik dan meningkatkan penguasaan tulisan jawi di Malaysia masih terbuka luas dengan komitmen yang tinggi dari pihak kerajaan dan masyarakat dalam menyokong kembali usaha pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan bangsa Melayu khususnya  dan masyarakat pelbagai kaum umumnya di Malaysia."

Siti Fatimah (2010)
Sarikei, Sarawak
https://webctfatimah.wordpress.com

No comments:

Post a Comment